loading...

Wednesday, December 17, 2014

Joki Maut Rempuh Tembok Tokong


Kuala Lumpur: Seorang joki pusat beli-belah terkemuka maut tersepit selepas kereta dinaiki merempuh tembok sebuah tokong di Jalan Ipoh awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa, J Elfred, 23, maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian penumpang hadapan manakala rakannya T Chandraboss, 44, cedera parah.

Difahamkan kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta model Proton Wira.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kenderaan dinaiki dua lelaki terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tembok batu sebuah tokong yang berada di kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, kereta dipandu mangsa remuk teruk dan berada dalam keadaan melintang di tengah jalan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya semalam.

Difahamkan kereta dinaiki mangsa dipandu dalam keadaan laju sehingga hilang kawalan dan terbabas.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat pelanggaran kuat itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/16861





Monday, December 15, 2014

Terbabas Dalam Parit



Kampar : Tujuh daripada 13 anggota tentera cedera selepas kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiga tan terbabas ke dalam parit di Kilometer 9.4 Jalan Kuala Dipang-Chenderiang, Kg Sahom, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan 8 pagi itu membabitkan trak pasukan ATM 2 Woksyop Briged Jalan Tambun Ipoh dipandu oleh anggota berpangkat koperal yang menuju ke lokasi latihan di Lata Kinjang.

Katanya, trak itu terbabas di bahu jalan dan terlanggar tiang elektrik selepas cuba mengelak kereta yang masuk di laluan bertentangan.

Akibat keadaan tanah lembut, trak yang mereka naiki menggelungsur dan terbalik ke dalam parit di tepi jalan sebelah kiri.

"Akibat kemalangan itu tujuh daripada 13 anggota mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat di bawah Sek 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/16412






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my