loading...

Wednesday, June 19, 2013

Maut dirempuh pemandu mabuk



19 Jun 2013
Taiping: Bukan satu, tetapi tiga motosikal dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km) oleh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk, menyebabkan seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut, manakala tiga lagi cedera parah.



Kemalangan ngeri itu berlaku di Kilometer 13.9, Jalan Taiping-Kuala Sepetang, di sini, kira-kira jam 12.10 tengah malam kelmarin dan kereta Mercedes Benz terbabit dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun yang disahkan polis di bawah pengaruh alkohol. Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusof Md Diah berkata, mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal, Harvinder Singh, 28, berasal dari Larut Tin dan pembonceng sebuah motosikal lain, Radzizah Mohd Yusoff, 55, dari Taman Kaya, Simpang, di sini.


Menurutnya, kejadian bermula dengan Mercedes Benz terbabit hilang kawalan lalu merempuh motosikal dinaiki Harvinder bersama rakannya, Mohd Ismail Md Ramli, 22, sebelum mengheret motosikal berkenaan sejauh 500 meter.

“Dalam keadaan motosikal milik Harvinder masih terlekat di bawahnya, kereta dipandu lelaki mabuk itu merempuh pula motosikal dibonceng Radzizah yang ditunggang suaminya (Mohd Zaini Abdullah, 58).


“Rempuhan itu menyebabkan Radzizah maut akibat kecederaan parah manakala suaminya yang turut cedera segera dikejarkan ke Hospital Taiping (HT),” katanya ketika ditemui semalam.


Yusof berkata, selepas perlanggaran kedua itu, motosikal dibonceng Radzizah turut diseret Mercedes Benz terbabit bersama motosikal pertama sejauh kira-kira 300 meter lagi sebelum merempuh pula motosikal ketiga.

Menurutnya, motosikal ketiga itu ditunggang Johari Zakaria, 21, dari Taman Kaya, Simpang, namun suspek masih terus memandu keretanya biarpun tiga motosikal tersangkut di bawah kenderaan itu.


“Akibat dirempuh, Johari patah kedua-dua kaki dan dimasukkan ke HT dan kereta dipandu suspek hanya berhenti berdekatan sebuah kuil, kira-kira 700 meter dari jarak pelanggaran ketiga.

“Akibat tiga rempuhan itu, suspek turut cedera di beberapa bahagian badan, lalu dibawa ke HT untuk rawatan,” katanya.


Yusof berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek dan lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.


Menurutnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara minimum dua tahun atau maksimum sehingga 10 tahun atau dan denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000.


“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HT untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing tengah hari tadi (semalam).


“Jenazah Radzizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Aur, Simpang selepas solat Zuhur,” katanya.


Sementara itu, anak Allahyarham Radzizah, Sarul Fahmi Mohd Zaini, 30, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu berikutan ibu dan bapanya baru ditemui beberapa jam sebelum nahas berlaku.


“Ayah dan arwah ibu hadir pada majlis aqiqah anak sulung saya yang juga cucu pertamanya di rumah keluarga isteri saya sebelum mereka bergegas ke rumah seorang saudara di Taman Kaya.


“Dia (arwah) begitu teruja kerana dapat mendukung dan mencium cucu pertamanya itu, namun saya tidak menyangka ia pertemuan terakhir saya dengan ibu,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Duakorbanpemandugila/Article/index_html
malaysiandigest.com/news/36-local2/375332-drunk-driver-hit-and-dragged-three-motorcycles-along-with-their-riders.html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my